TANPA PERMULAAN ANDA TIDAK AKAN SAMPAI KEMANA-MANA..."Dan Barangsiapa yang tidak pernah melakukan kesalahan, maka dia tidak pernah mencoba sesuatu yang baru"

Tuesday, January 31, 2012

Guru Prasekolah Berijazah Kesan Kepada Kanak-kanak dan Negara.

Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa malah lebih dari itu. Guru adalah agen kepada keberkesanan pendidikan. Sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Seseorang guru perlu serba tahu baik dari segi mengajar, mendidik, memimpin malahan juga mengurus. Lantaran itu, sekiranya guru yang mengajar di prasekolah memiliki ijazah sudah tentu akan memberi kesan yang besar kepada kanak-kanak prasekolah dan negara amnya.

1. Kesan Kepada Kanak-kanak
Guru prasekolah berijazah sudah tentu mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi daripada guru yang tidak memiliki ijazah terutamanya dari segi ilmu dan teori-teori pembelajaran. Guru yang baik sahsiah, sudah tentu memberi kesan kepada kanak-kanak. Mereka menjadi contoh kepada kanak-kanak kerana guru berperanan sebagai pembentuk watak dalam proses penyesuaian diri kanak-kanak di prasekolah.

Guru prasekolah hendaklah mengetahui peranan mereka dalam mempelbagaikan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada kanak-kanak di kelas prasekolah. Guru juga berperanan sebagai pendorong yang menggalakkan pembelajaran kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui permainan atau aktiviti tidak formal. Guru yang berpengetahuan akan berusaha menyediakan aktiviti pembelajaran yang menggembirakan dengan melibatkan kanak-kanak secara aktif. Aktiviti yang dirancang guru itu membolehkan kanak-kanak mencapai kejayaan di peringkat kebolehan mereka. Guru pula seharusnya tidak lokek memberi pujian kepada kanak-kanak yang berjaya mencuba. Dengan cara ini, akan dapat membantu kanak-kanak membina konsep diri yang positif. Di samping itu, dengan adanya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik memberi kesan kepada diri kanak-kanak kerana ianya secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak ke sekolah setiap hari.
 
Guru yang berpengetahuan juga mempunyai pengaruh yang penting dalam kehidupan kanak-kanak. Sikap dan sahsiah yang dimiliki seseorang guru menjadi contoh kepada kanak-kanak. Secara tidak langsung, kanak-kanak akan memerhati dan seterusnya meniru kelakuan guru itu. Sebagai guru hendaklah menggunakan peluang untuk menunjukkan teladan yang baik serta menerapkan nilai-nilai positif kepada kanak-kanak. Kesannya amat besar kepada kanak-kanak sehingga boleh mempengaruhi tingkah laku hingga dewasa.
 
2. Kesan Kepada Negara

Guru adalah profesion yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru banyak menyumbang khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar. Sebagai usaha memastikan guru di negara ini dapat berperanan seperti diharapkan, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia menggariskan empat strategi utama untuk memartabatkan profesion perguruan. Pertama, memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan. Kedua, memantapkan karier keguruan. Ketiga, memperbaiki persekitaran kerja guru dan keempat, meningkatkan keyakinan dan rasa bangga guru terhadap profesion keguruan. Strategi pertama dan kedua bersesuaian dengan topik yang dibincangkan di sini.

Kehadiran guru-guru berijazah mengajar di prasekolah memberikan kesan yang besar kepada negara kerana guru-guru berijazah mempunyai ilmu yang tinggi dari aspek pedagogi dan psikologi. Kanak-kanak di peringkat ini menerima sahaja apa yang diajar oleh guru-guru mereka tanpa ada rasa jelik. Justeru itu, ia akan membentuk akhlak yang baik apabila mereka dewasa kelak. Hal ini bersesuaian denga peribahasa ‘ melentur aur biarlah dari rebungnya’. Demikian antara peranan guru pada ketika ini. Mereka bukan saja menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara hari ini berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

No comments: